SUMBER berita Bernama melaporkan Badan Perhubungan Umno Johor Isnin lalu mengesahkan Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib digantung keanggotaannya kerana terlibat dengan rasuah pada pemilihan parti tahun lepas.
Penggantungan keanggotaan Saipolbahri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning itu disahkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Negeri, Mohd Jais Sarday.
"Ya," katanya seperti dilaporkan oleh Bernama pada hari Isnin menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) apabila ditanya tentang kebenaran berita Ketua Bahagian Umno Bakri digantung keanggotaaannya oleh Ibu pejabat Umno baru-baru ini.
Mohd Jais yang juga Exco kanan kerajaan negeri bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang tempoh penggantungan yang dikenakan terhadap Saipolbahri.
Adun Bukit Naning itu juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian selepas menewaskan pencabarnya, Allahyarham Datuk Mazlan Sabari dan Lokman Mohd Dom pada pemilihan lepas.
Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno negeri, Ramlee Bohani pula ketika dihubungi pada Isnin turut enggan mengulas berkenaan isu penggantungan itu dan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada Ibu pejabat Umno. — EdisiRakyat.com
إرسال تعليق