BEKAS Ratu Cantik Venezuela, Monica dan bekas suaminya, Thomas Henry Berry mati ditembak di depan mata seorang anak perempuan mereka sendiri oleh beberapa lelaki bersenjata yang cuba merompak pasangan berkenaan di sebuah lebuh raya di sini kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 10.30 malam waktu tempatan di wilayah El Cambur kira-kira 322 kilometer dari barat Caracas itu, anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia lima tahun turut cedera akibat ditembak di kaki.
Spear, 29, dan Berry, 39, yang bercuti di Puerto Cabello dalam perjalanan pulang ke Valencia dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Corolla sebelum tayar kenderaan itu pancit akibat melanggar satu objek tajam yang sengaja diletakkan di atas jalan raya.
Pengarah siasatan polis Venezuela, Jose Gregorio Sierralta berkata, tidak lama selepas kenderaan itu berhenti, sebuah trak tunda yang dinaiki oleh dua lelaki tiba-tiba muncul untuk menghulurkan bantuan kepada pasangan berkenaan.
"Ketika kenderaan itu diangkut trak penunda, muncul lima lelaki bersenjata yang menyerang pasangan tersebut menyebabkan aktres dan bekas suaminya mengunci diri mereka di dalam kereta.
"Kumpulan penjenayah itu kemudiannya melepaskan enam das tembakan ke arah mangsa menyebabkan Spear terkena beberapa tembakan di badan manakala Berry cedera di dada sebelum melarikan diri tanpa mengambil sebarang barangan berharga,'' katanya.
Menurutnya, polis telah menahan lima lelaki termasuk dua suspek yang berusia di bawah 18 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
Spear yang memenangi pertandingan Ratu Cantik Venezuela pada tahun 2004 dan tempat kelima pertandingan Ratu Cantik Universe pada tahun 2005 sebelum dia berlakon beberapa buah siri drama di negara itu.
Dia kemudinnya berkahwin dengan Berry, seorang ahli perniagaan dari Britain pada tahun 2009 sebelum bercerai empat tahun selepas itu.
Namun, mereka masih berkawan baik dan sering bercuti bersama semata-mata untuk anak mereka.
Pembunuhan, penculikan dan rompakan bersenjata merupakan perkara biasa di negara yang kaya dengan hasil minyak ini.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menganggap pembunuhan pasangan itu adalah sangat kejam.
إرسال تعليق