POLIS menahan lelaki yang mengaku sebagai Sultan Melaka pada hari selasa lapor Bernama.
Timbalan Pegawai Polis Negeri, Datuk Shah Gzali Khan Sahadat berkata, lelaki tersebut kini disiasat di bawah Akta Hasutan.
Tambahnya lagi, lelaki tersebut ditangkap pada jam 10:50 pagi dipercayai ketika sedang dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis kesyukuran berkaitan dengan kebangkitan semula Kesultanan Melaka.
"Tangkapan dibuat berdasarkan sekurang-kurangnya 10 laporan yang telah dibuat oleh beberapa organisasi yang meluahkan kebimbangan selepas menerima undangan ke sebuah majlis kononnya sebagai majlis penabalan dan penobatan," katanya.
Shah Gzali Khan berkata, satu siasatan mendedahkan kira-kira 50 pengikut lelaki itu turut menuju ke Pulau Besar pada hari Selasa dipercayai untuk menghadiri majlis kesyukuran tersebut.
"Tiada pengikut yang ditahan. Bagaimanapun bergantung kepada tindakan mereka.
"Sesiapa yang menghalang tindakan polis dan penjawat awam menjalankan tugas akan ditangkap, " katanya.
Pada 8 Jan lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri menolak permintaan Raja Noor Jan Shah supaya diiktiraf sebagai Sultan Melaka.
Katanya, kerajaan negeri hanya mengiktiraf anugerah dan pingat yang dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaacob.
إرسال تعليق