POLIS nafi membuat tangkapan terhadap komposer Yuri Wong yang didakwa menyusun satu video lagu remix berkaitan dengan kenyataan 'kangkung' oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak lapor The Star.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa dilaporkan sebagai berkata, "Kami tidak terlibat dalam sebarang penyiasatan berhubung perkara itu".
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Datuk Mohd Adnan Abdullah dilaporkan turut mengesahkan bahawa pihak polis negeri tiada melakukan sebarang penyiasatan terhadap komposer itu.
Berita penangkapan ditimbulkan di blog-blog mendakwa pihak polis menahan Yuri Wong pada hari Khamis kerana memuat naik video di YouTube menggunakan suara Perdana Menteri berhubung penurunan harga kangkung.
Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa turut menulis tweet berhubung penangkapan Yuri Wong, namun ia ditulis berdasarkan khabar angin.
"Kami dengar dia ditahan pada hari Khamis malam, tapi kami tidak pasti. Keesokan pagi kami dapat tahu dia hanya dipanggil untuk memberikan kenyataan. Kami sedang cuba untuk menghubungi peguamnya untuk mengesahkan apa sebenarnya yang berlaku," katanya — EdisiRakyat.com
إرسال تعليق