Pergerakan Puteri Umno Malaysia menolak cadangan pelaksanaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang dikatakan menjejaskan kestabilan negara lapor Malaysiakini.
Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan sebagai berkata, cadangan yang dikemukakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dirasakan tidak perlu memandangkan undang-undang yang menggantikan ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 adalah memadai.
"Apa yang penting buat masa ini adalah peningkatan penguatkuasaan undang-undang tersebut dan bukannya pelaksanaan semula ISA," katanya ketika ditemui media di Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Pergerakan Puteri Umno Sabah di Hotel Hyatt Regency, semalam.
Walau bagaimanapun katanya, pihaknya berpendapat bahawa cadangan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir itu mempunyai kewajarannya dengan beberapa peristiwa ketegangan yang berlaku baru-baru ini.
Namun katanya, perkara yang sama akan berulang walaupun ISA dikuatkuasakan semula.
Walaupun pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, Ermieyati mengakui, negara masih memerlukan pandangan serta pendapat dari mantan perdana menteri itu.
"Saya tidak menolak, Tun Dr Mahathir masih diperlukan dan kita mengharapkan beliau akan terus memberi nasihat dan pandangannya," katanya lagi.
Post a Comment