SETIAUSAHA Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Amirudin Shari petang ini menawarkan diri sebagai calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat pada pemilihan yang dijangka berlangsung bulan Mei ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Caves membuat pengumuman itu dalam sebuah Majlis Hi Tea bersama Angkatan Muda KEADILAN di NZ Curry House, Jalan Ampang petang ini.
Kelihatan hadir pada majlis tersebut adalah YB Shamsul Iskandar yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN, YB Dr Afif Bahardin, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang, Ketua - Ketua Angkatan Muda Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta anggota Angkatan Muda daripada seluruh negara. Turut hadir adalah aktivis mahasiswa, Haziq Abd Aziz yang juga Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM) dan Fariz Musa, Koordinator Jingga 13.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Amirudin Shari menyebut bahawa menyedari pelbagai isu khususnya melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan demokrasi negara muncul selepas Pilihan Raya Umum ke 13, maka gerakan kepemudaan perlu terus diperkukuh supaya lebih berdaya dan progresif.
Tambah Amirudin dalam kenyataan tersebut, agenda membangun organisasi kepemudaan harus menjadi keutamaan untuk mendorong massa yang lebih progresif bertunjangkan asas pemikiran yang intelek serta prinsip perjuangan yang tercerna daripada nilai - nilai murni masyarakat.
Kesatuan pemikiran dan perjuangan generasi muda hari ini adalah harapan rakyat Malaysia yang tidak pernah surut semangat untuk bersama arus perubahan. Maka KEADILAN harus menerajui usaha ini untuk membangun suatu gerakan kepemudaan yang benar - benar mendepani masalah dan keperitan rakyat.
"Oleh yang sedemikian, setelah mendapat kata sepakat dan dorongan teman - teman khususnya anggota Angkatan Muda KEADILAN daripada seluruh negara, saya dengan ini menyatakan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat pada tahun ini…" jelas Amirudin dalam pengumuman beliau petang tadi.
Harapan Amirudin di akhir kenyataan tersebut, beliau mahu hasrat yang beliau nyatakan terus mendorong cita - cita rakyat untuk melaksanakan agenda reformasi - EdisiRakyat.com
Post a Comment