PELAKU 'tarian punggung' dan 'hadiah kek tahi' harus memohon maaf, tulis Lim Kit Siang di laman twitter miliknya pagi ini.
Kenyataan veteran DAP itu dilihat sebagai reaksi balas terhadap tunjuk perasaan dan himpunan membantah ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menyuap kangkung ke dalam mulut replika Najib Razak.
"Saya ditanya sama ada mereka yang menunjukkan rasa tidak hormat kepada Ambiga Sreenivasan dengan 'tarian punggung' yang menjijikkan harus minta maaf di atas tindakan yang tiada semangat Malaysia.
"Atau sama ada mereka yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang sama jijik terhadap KM Pulau Pinang iaitu kejadian kek tahi/pengebumian patut memohon maaf.
"Ya mereka patut mohon maaf, tapi bukan saya yang harus mengatakannya, tapi mereka yang buat tindakan keji ini" tulis beliau di twitter miliknya.
Sekumpulan individu mendakwa diri mereka sebagai pesara tentera yang pro Barisan Nasional dilaporkan membuat aksi 'tarian punggung' di depan rumah Datuk Ambiga, Pengerusi Bersama Bersih.
Sebelum itu NGO pro Barisan Nasional dilaporkan membuat aksi tunjuk perasaan dengan menghantar kek seperti tahi manusia kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
NGO yang sama juga pernah membuat demonstrasi dengan membawa gambar Lim Guan Eng yang dikalungkan dengan bunga mirip seolah-olah beliau sudah mati — EdisiRakyat.com
إرسال تعليق