AGEN rahsia Amerika Syarikat telah menanam peranti pengintip rahsia di dalam hampir 100,000 komputer di seluruh dunia lapor portal berita berpengaruh Britain, metro.co.uk.
Memetik laporan New York Times, Amerika Syarikat mengintip sasaran-sasaran termasuk askar Rusia, dengan cara pemasangan papan litar halus dan 'USB Cards' yang memancarkan gelombang radio.
Penggunaan teknologi gelombang radio konvensional ini bermakna, komputer boleh digodam meskipun ianya tidak disambung kepada talian Internet.
Peranti-peranti intipan itu dipasang sama ada dengan bantuan pengilang sebelum komputer dihantar, ataupun dengan kaedah intipan ala 'James Bond' dengan cara menyelinap melalui bangunan tempat komputer disimpan dakwa sumber.
Salah satu peranti dikenali sebagai Cottonmouth II, dilaporkan mirip pemacu USB namun mengandungi 'transceiver' tersembunyi di dalamnya yang mampu menerima dan menghantar data.
Penemuan berdasarkan data-data yang didedahkan oleh pembocor rahsia Edward Snowden — Sasaran utama intipan adalah negara China, sebuah negara yang sering dituduh melancarkan serangan cyber ke atas syarikat - syarikat Amerika.
"Dalam satu sudut, Amerika Syarikat menimbulkan isu serangan cyber dari negara-negara lain" kata jurucakap Menteri Luar China seperti dipetik oleh Metro.co.uk, "Dalam masa yang sama, ia melakukan pengintipan cyber yang mengancam kedaulatan, keselamatan dan privasi negara-negara lain" katanya.
Sasaran-sasaran lain termasuk, pengedar dadah, rakan perniagaan AS termasuk Arab Saudi, India dan Pakistan menurut satu kertas laporan.
Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika, NSA menegaskan bahawa teknologi tersebut tidak pernah digunakan untuk mengintip rakyatnya sendiri.
Dalam satu kenyataan balas tidak langsung kepada China, ia menambah: "Kami tidak gunakan keupayaan intipan untuk mencuri rahsia dagangan dari syarikat asing". — EdisiRakyat.com
Post a Comment