INSIDEN seorang guru mualaf yang dipaksa membuka tudung jika ingin terus mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Johor tidak harus berulang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas perkara itu berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku malah semua rakyat Malaysia perlu menghormati adat, agama dan amalan masing-masing.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata kementerian tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan bahawa guru terbabit perlu membuka tudung untuk mengajar di sekolah berkenaan.
"Ini tidak sepatutnya berlaku tetapi baguslah dia (lembaga pengurusan sekolah) dah ambil keputusan mohon maaf. Sepatutnya tak berulang kerana hal-hal sebegini menyentuh hak seseorang.
"Dia tak boleh salah guna kuasa sebagai ahli lembaga sekolah untuk menyuruh guru itu membuka tudung. Dari segi kementerian guru itu tidak melanggar apa-apa (peraturan)," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau situasi harga barangan keperluan di sini Sabtu.
Semalam, Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya di Kota Tinggi, Johor memohon maaf secara terbuka kepada seorang guru mualaf sekolah itu yang sebelum ini dilaporkan diugut dan dipaksa membuka tudungnya jika ingin terus mengajar di sekolah itu — BERNAMA
Post a Comment