CALON presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini mencadangkan pucuk pimpinan parti supaya membenarkan perdebatan terbuka antara calon-calon jawatan tertinggi diadakan sebelum pemilihan parti akan datang.
Bekas presiden MCA itu berkata perdebatan itu merupakan peluang terbaik untuk para perwakilan menilai kredibiliti setiap calon serta memudahkanmereka memilih yang terbaik untuk memimpin parti.
"Perdebatan ini bukan hanya perlu pada pemilihan parti penggal ini (2013-2016), malah ia perlu dijadikan acara wajib pada pemilihan parti penggal akan datang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ong berkata demikian bagi mengulas pelawaan pesaingnya iaitu Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu untuk mengadakan perdebatan antara calon-calon presiden termasuk dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Pemilihan jawatan presiden parti akan diadakan Sabtu ini.
"Ini juga bagi memastikan orang awam memahami struktur pemilihan parti kita dan mengenali lebih dekat setiap calon yang bertanding dalam pemilihan melalui perdebatan," katanya.
Bagi sistem pemilihan parti pula, Ong mencadangkan pucuk pimpinan parti supaya mengadakan pemilihan pengerusi jawatankuasa perhubungan parti negeri dan bukannya dilantik oleh presiden.
Beliau turut mencadangkan calon-calon pilihan raya umum (PRU) yang diwakili oleh MCA perlulah dicadangkan dari peringkat bahagian dan cawangan, bukan dicadangkan sepenuhnya oleh presiden.
"Calon-calon PRU hendaklah dipersetujui oleh perwakilan peringkat cawangan dan bahagian terlebih dahulu sebelum menghantar senarai nama kepada jawatankuasa pusat parti dan kemudian kepada majlis tertinggi Barisan Nasional bagimempertimbangkannya.
"Ini bagi mengelak mana-mana anggota perwakilan yang dirasakan layak untuk bertanding mewakili kawasan mereka, namun tidak dicadangkan oleh presiden, tersinggung hati lalu meninggalkan parti kemudian hari," katanya - Sinar Harian
إرسال تعليق