Golongan miskin di bandar akan semakin bertambah — FOMCA

KENAIKAN harga barang dan perkhidmatan yang mendadak secara serentak akan menyebabkan peningkatan jumlah golongan miskin bandar. 

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meramalkan, penduduk bandar berpendapatan sekitar RM3,000 paling menerima kesannya kerana terpaksa bergelut dengan tekanan sara hidup yang semakin mendesak. 

"Kalau dulu semasa berlaku kenaikan harga minyak kita suruh orang ramai guna pengangkutan awam, tetapi sekarang kalau tambang LRT dan monorel pun naik juga maknanya kini mereka tiada pilihan. 

"Perlu cari jalan lain seperti melakukan kerja tambahan tapi itu berisiko menimbulkan kesan sosial lain pula," kata Pengarah Komunikasi Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi. 

Beliau berkata sedemikian dalam responnya terhadap spekulasi kenaikan kadar tambang LRT dan monorel tahun depan. 

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrikyang akan bermula Januari depan. 

Namun beliau menegaskan perkara itu masih dalam peringkat kajian berdasarkan empat faktor, iaitu struktur sedia ada tambang, operasi dan penyelenggaraan kos bagi semua pengendali tren, peningkatan dalam bahan api dan kos tenaga dan kemampanan jangka panjang industri. 

Begitu juga dengan ura-ura kenaikan tol dibeberapa lebuh raya utama bermula Januari 2014 selepas pengumuman kenaikan gula termasuk harga minyak petrol dan diesel selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. Mohd Yusof meramalkan, kadar tambang industri rel dijangka naik dalam kadar 10% selepas mengambil kira tempoh kenaikan yang tidak berlaku sejak 10 tahun lalu. 

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan perlu mengutamakan tanggungjawab sosial dengan mencari jalan lain supaya rakyat golongan sederhana dan bawahan tidak menjadi 'mangsa' dengan kesannya. 

"Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan industri rel perlu cari jalan supaya kadar perolehan adalah berdasarkan jumlah kekerapan pengguna pengangkutam awam, bukan memikirkan keuntungan sama seperti syarikat swasta lain," katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dalam kenyataannya mendesak Barisan Nasional (BN) membuat akujanji dengan rakyat bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tambang pengangkutan awam sehingga tahun 2017. 

Rafizi mendakwa, BN merancang untuk menaikkan satu persatu harga perkhidmatan dan barang keperluan sepanjang tahun 2014 untuk memastikan kenaikan harga ini berlaku sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan menjelang Mac 2015. 

Katanya, keputusan untuk menaikkan harga barang telah pun dibuat seawal tahun pertama Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009 lagi. 

Malah sejak 2009, PEMANDU dan menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Idris Jala secara terbuka membincangkan rancangan penarikan balik subsidi dari pelbagai sektor termasuk kadar pengurangannya sekali. 

Ini melibatkan kadar tol, harga gula dan makan, tarif elektrik dan lain-lain. "Kenaikan-kenaikan sebelum ini tidak dilaksanakan kerana Barisan Nasional takutkan kemarahan rakyat mempengaruhi tahap sokongan PRU13. 

"Namun kini selepas PRU13 mereka mengambil kesempatan untuk mula melaksanakan keputusan-keputusan menaikkan harga barang yang telah dirancang selama ini. 

"Pengumuman berturut-turut melibatkan kenaikan harga petrol/diesel, harga gula dan harga elektrik mengesahkan bahawa akan ada lagi kenaikan lain yang bakal diumumkan," katanya. 

Pengarah Strategi PKR itu menegaskan, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan mampu mengubah kedudukan sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah jika kenaikan terus berlaku. 

"Jumlah bantuan yang diberikan melalui BR1M walaupun menelan hingga RM7 billion, tidak pun dapat membantu rakyat berhadapan dengan kenaikan harga yang berturut-turut ini," katanya — FMT

Post a Comment

أحدث أقدم