TIMBALAN Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata, beliau tidak menafikan penubuhan awal parti tersebut bersimbolkan kezaliman yang berlaku kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tuntutan berubah seiring dengan peredaran masa pada ketika ini.
"Tapi sekarang masa sudah berubah, tuntutan sudah berubah, cabaran baru dan kita mempunyai pemilih dan pengundi di kalangan anak muda, yang tidak tahu pun apa berlaku pada 1998," katanya.
Beliau berkata, anak muda sekarang melihat dan mencari sebuah parti yang mampu mendokong aspirasi mereka serta konsep demokrasi sebenar.
"Definasi pembangunan yang diinspirasikan oleh rakyat hari ini lebih kompleks, mereka menuntuk hak asasi, demokrasi, kebebasan bersuara, media bebas, ini pembangunan yang dituntut rakyat dalam dekad terbaru ini.
"Oleh itu, kita tegaskan KEADILAN bukan parti Anwar centric lagi tapi ini parti yang akan memikul aspirasi rakyat," katanya.
Bagi menyokong hujahnya, Azmin berkata, semasa penubuhan awal Parti Keadilan Nasional (PKN) tidak menyaksikan kehadiran Anwar selaku pemimpin, tetapi diterajui oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas Anwar meringkuk dalam penjara.
"Beliau (Wan Azizah) berjaya meletakkan asas yang cukup kuat dalam pembentukan PKR selama 15 tahun lalu dan sudah tentu sumbangannya itu sangat besar serta bermakna dalam melahirkan parti ini," katanya.
Sementara itu, Azmin berkata, bagi tempoh dua tahun akan datang fokus utamanya akan lebih ke arah untuk mengukuhkan parti tersebut khususnya dalam menyediakan pemimpin pelapis muda.
"Buat masa ini, saya mahu memberikan tumpuan untuk mengukuhkan parti kerana sekarang ini kita ada masa yang lebih sebelum pilihan raya umum ke-14 nanti.
"Dalam tempoh dua tahun ini, cabaran PKR adalah mengenal pasti bakat baru, potensi baru, muka baru. Ini cabaran besar yang memerlukan kita beri tumpuan di peringkat pusat atau negeri dan cabang," katanya.
Azmin berkata, istilah perjuangan dalam PKR perlu difahami oleh setiap ahlinya dan latihan pengkaderan adalah langkah paling berkesan.
"Tumpuan saya sekarang adalah soal latihan dan apa yang saya sebut program pengkaderan, kader di dalam mana-mana perjuangan sistem ini yang cukup efektif untuk sampaikan maklumat di bawah dan mempertahankan idealisme perjuangan.
"Ini merupakan kekurangan dalam PKR yang berani saya nyatakan, sebab selepas 2008 bergerombolan orang masuk parti, sebelum itu nak dekat pun takut. Tapi bila dia masuk, apakah dia faham idealisme perjuangan atau dia masuk kerana jawatan atau sebab imbuhan," katanya.
Dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu, PKR memenangi 30 kerusi Parlimen, sembilan di Selangor, masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga di Perak dan Pulau Pinang, dua di Pahang, serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.
Azmin berkata, tidak semua ahli PKR mengenali Anwar tetapi sokongan datang daripada rakyat biasa yang percaya kepada perjuangan dibawa oleh parti tersebut.
"Isunya bukan orang Anwar atau bukan, yang ramai dalam PKR ini tidak kenal Anwar pun.
"Mereka tidak pernah duduk bersama Anwar, tidak pernah bersama Anwar tapi mereka terpanggil untuk melakukan satu perubahan.
"Bagi saya orang ini, kelompok ini yang harus kita raikan dan bantu mereka, gilap potensi mereka termasuk anak muda yang terdedah kepada pelbagai maklumat melalui media sosial," katanya — TMI
Post a Comment