Guru sekolah kantoi pakai kad pengenalan palsu selepas 12 tahun

SELEPAS 12 tahun bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah di kaki Gunung Kinabalu, Ranau Sabah, Asni Ismail rupa-rupanya selama ini menggunakan kad pengenalan palsu.

Dia telah berkahwin dengan warga tempatan dan pasangan itu dikurniakan 4 orang anak berumur antara 10 bulan dan 11 tahun.

Pada 11 November 2017, Asni yang berumur 39 tahun didapati bersalah kerana memegang kad pengenalan palsu Malaysia dengan nombor 780331125186.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya di bawah seksyen 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

MyKad Palsu
Sumber foto —  The Star

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya selepas sabit kesalahan.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan ke atas Asni sambil menyifatkan kesalahan Itu sebagai "sangat serius".

Hukuman berkuatkuasa dari tarikh tangkapan pada 6 November 2017. Asni dilapor akan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman itu bagi proses penghantaran pulang ke negara asal.

Hakim turut memerintahkan kad pengenalan (MyKad) palsu itu dimusnahkan.

Berdasarkan maklumat kes, Asni ditahan di SK Kinarasan Ranau. Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Ranau, menerima permohonan bagi mengesahkan MyKad miliknya Pada 15 Jun 2017.

Bagaimanapun, butiran MyKad miliknya tidak ditemui dalam pengkalan data jabatan itu. Siasatan lanjut terhadap perkara itu mendapati dokumen itu sebagai palsu.

Peguam yang mewakili Asni berkata, beliau Sedang menunggu arahan dari keluarganya untuk memfailkan rayuan.

Katanya, berdasarkan keterangan keluarga, Asni telah dilahirkan di Tawau, Sabah dan telah bersekolah dan mengambil kursus perguruan sebelum bertugas sebagai seorang guru.

Namun tiada dokumen-dokumen sokongan yang boleh menyokong dakwaan itu. EdisiRakyat.com, 27 November 2017
Previous Post Next Post